Pasukan Liga Super, Kedah Darul Aman difahamkan sedang mengintai aksi pemain Kyrgyzstan berdepan Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.
Perkara ini dikongsikan oleh pengurus pasukan Kedah Darul Aman FC, Joe Rozi yang turun ke Kuala Lumpur bagi menyaksikan aksi genting ini.
Perlawanan menentang pasukan ke-96 dunia ini amat penting buat Harimau Malaya untuk mengutip tambahan +15.49 mata FIFA di laman sendiri.
Joe bagaimanapun berkongsi keterujaan untuk datang menyaksikan kelibat seorang bintang naturalisasi Kyrgyzstan yang dibawa menentang Malaysia.
Beliau menyifatkan pemain ini sebagai antara bintang terbaik yang beraksi buat Kyrgyzstan iaitu pemain naturalisasi Ghana, Joel Kojo.
Penyerang berusia 25 tahun ini akan menjadi sandaran utama Stefan Tarkovic dalam usaha meraih tiga mata menentang anak didik Kim Pan-gon.
“Ada seorang pemain dalam pasukan Kyrgyzstan yang aku nak sangat lihat beliau beraksi, namanya Joel Kojo. Beliau ini kelahiran Ghana namun baru diberikan passport Kyrgyzstan.”
Kojo bagaimanapun masih belum meledak sebarang gol bersama pasukan kebangsaan Kyrgyzstan.
“Joel juga difahamkan baru memiliki dua penampilan bersama pasukan kebangsaan.”
Pemain yang beraksi buat Dinamo Samarqand di Uzbekistan ini memiliki reputasi yang baik selaku peledak berbisa pasukan.
“Joel Kojo ini merupakan penjaring kedua terbanyak di Liga Kedua Uzbekistan selain memperoleh anugerah pemain terbaik tahunan setelah membantu Dinamo Samarqand mengakhiri saingan di tempat kedua liga,” jelasnya menerusi satu ciapan di X.
Malaysia akan melayan kunjungan Kyrgyzstan pada 16 November 2023 di Bukit Jalil jam 9 malam.