Pasukan Kedah melakukan rombakan besar-besaran dengan melepaskan 4 pemain setelah 7 aksi Malaysia Premier Futsal League (MPFL).
Saingan MPFL 2025 bakal memasuki minggu ke-8 dengan kesemua kelab telah mengharungi 7 aksi awal di pusingan pertama tatkala Johor Darul Ta’zim (JDT) memimpin carta liga.
Manakala pasukan Kedah yang merupakan naib juara MPFL Divisyen 2 musim lalu kini berdepan prestasi tidak menentu setelah menghuni tangga kedua tercorot dengan mengutip 4 mata.
Hal ini dilihat mendorong pihak pengurusan untuk mengambil keputusan untuk melepaskan 4 pemain iaitu Shamsuri Saleh, Luqman Yaacob, Yazid Kamaruzuan dan juga Cesar Shammir.
Keputusan ini diumumkan oleh pihak kelab menerusi sebuah hantaran di laman media sosial Persatuan Bola Sepak Kedah yang didahului dengan ucapan terima kasih buat kesemua 4 pemain ini.
”Persatuan Bolasepak Kedah Darul Aman (KFA) merakamkan ucapan terima kasih kepada 4 pemain: Shamsuri, Luqman, Yazid dan Shammir sepanjang bersama pasukan dalam kancah MPFL musim ini,” umum KFA di laman X.
Ujian seterusnya menanti skuad Kedah dalam saingan MPFL adalah berdepan naib juara Divisyen 1 musim lalu, Selangor pada 22 Mei ini di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar.