Kedah Darul Aman FC (KDA FC) mendepani cabaran Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/25 dengan sokongan 30 entiti korporat.
Identiti semua penaja ini dikongsikan pengurusan Sang Kenari dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Stadium Darul Aman.
Ini dilihat sebahagian daripada usaha pemegang saham majoriti Kedah, Tan Sri Dr. Daud Bakar untuk memperkukuh kedudukan kewangan pasukan itu musim ini.
Antara entiti korporat yang bersama Kedah untuk musim ini ialah BerryPay, Electrica, Al-Ikhsan Sports, Arab Street dan Anak Sena.
Daud melihat untuk menjadikan status kewangan Kedah lebih kukuh, konsep perniagaan perlu menjadi keutamaan pasukan sebelum diikuti dengan sukan.
Perubahan strategi ini dilihat bukan saja menambah baik kantung kewangan Sang Kenari. Malah, ini secara tidak langsung membantu merancakkan lagi perkembangan ekonomi negeri Kedah amnya.
“Buat masa ini, kita ada lebih kurang 30 rakan penaja. Jadi, kita berharap pada penghujung tahun ini, kita ada 100 rakan dari pelbagai dimensi seperti penaja, rasmi, strategik dan perniagaan untuk memajukan Kedah.
“Ini membuktikan bahawa bola sepak ini kedua, yang pertamanya ialah perniagaan. Itu yang saya cuba buktikan bahawa apa pun, duit kena ada dahulu.
“Sukan adalah yang kedua, kita terbalikkan sedikit piramid supaya kembalikan fokus, pemikiran dan minda agar pembangunan bisnes dapat membantu pembangunan bola sepak,” katanya.
Majlis ini turut menyaksikan dua pemain Kedah, Rizal Ghazali dan Heshamudin Ahmad memperagakan jersi baru pasukan itu.
Jersi baru Sang Kenari dilancarkan pada malam 25 Julai lalu. Jersi ini dijangka digunakan buat kali pertama untuk aksi Liga Super menentang Kuching City FC pada 26 Julai ini.