Pasukan Liga Super, Kedah Darul Aman terus mengorak langkah lebih baik apabila menerima satu lagi tajaan mencecah 6 angka musim baru.
Skuad kendalian Nafuzi Zain dalam proses untuk menyesuaikan diri dengan musim baharu apabila telah mengharungi 4 perlawanan setakat ini.
Kemenangan berdepan Bukit Tambun 5-0 jelas menyuntik moral pasukan untuk terus bersaing secara kompetitif musim ini.
Menerusi satu pengumuman oleh laman Kedah Darul Aman, pasukan utara tanah air itu menerima satu lagi tajaan untuk membantu memperkukuhkan kewangan pasukan.
“Hadir menandatangani perjanjian antara kedua-dua pihak adalah Saw Mei Yee, Pengarah HYL Marketing Sdn. Bhd. (Xpress Point) dan Shahrul Samsudin, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC.
“Sesi diadakan di bilik sidang media, Stadium Darul Aman, melibatkan persetujuan tajaan bernilai RM100,000.00 dalam bentuk tunai dan barangan tajaan.
“Antaranya ialah penganjuran aktiviti bersama pasukan dan penyokong, projek usahasama serta diskaun produk buat ahli kepak kenari/pas bermusim di semua cawangan Xpress Point,” ujar laman KDA FC.
Kedah juga telah memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk memperkukuh kewangan kelab sebelum ini bagi memastikan perjalanan musim 2024/25 berjalan lancae.