Pengurusan pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) diketuai Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar menziarahi keluarga Allahyarham Muhammad Danish Hakim Bin Muhammad Zahir.
Penyokong Sang Kenari berduka apabila menerima berita Allahyarham meninggal dunia sebelum sepak mula perlawanan separuh akhir pertama Piala FA 2024 di Stadium Darul Aman pada 19 Julai lalu.
Allahyarham yang datang ke stadium bersama adiknya dilaporkan rebah dan tidak sedarkan diri di tempat duduk stadium pada jam 7.00 malam. Petugas perubatan berusaha memberi rawatan kepadanya tetapi Allahyarham diisytiharkan meninggal dunia apabila tiba di Hospital Sultanah Bahiyah.
Polis mengklasifikasikan kematiannya sebagai mati mengejut. Punca kematian Allahyarham dikenal pasti sebagai Complex Cyanotic Heart Disease iaitu sejenis penyakit jantung.
Sebaik menerima berita tersebut, pengurusan Kedah bukan saja memuat naik ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham di platform rasmi pasukan itu.
Malah, pengurusan Kedah diketuai Daud dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pasukan, Shahrul Shamsudin turut menziarahi keluarga Allahyarham di kediaman mereka di Anak Bukit.
Dalam kunjungan tersebut, pengurusan Sang Kenari mengambil kesempatan untuk bertanya khabar dan memberi kata-kata semangat kepada keluarga Allahyarham.
Pada akhir kunjungan, Daud turut menghulurkan sedikit sumbangan kepada keluarga Allahyarham sebagai tanda ingatan dan penghargaan buat penyokong istimewa itu.
Sebaik kunjungan ini dikongsikan di platform rasmi Kedah, ramai penyokong memuji tindakan yang dilakukan pengurusan pasukan itu.
Ini kerana ini menunjukkan pengurusan Sang Kenari diketuai Daud cakna dengan perkembangan semasa dan sentiasa menghargai jasa penyokong.