Kedudukan Terkini Malayan Tigress Selepas Kalahkan Palestin
MakanBola
FA Malaysia

Pasukan Malayan Tigress kini berada di landasan yang tepat selepas berjaya menundukkan Palestin ketika aksi kumpulan H Kelayakan Piala Asia 2026 pada Ahad.

Aksi pertama kumpulan H menyaksikan skuad wanita negara bimbingan Joel Cornelli turun berentap menentang Palestin dengan membawa misi penting bagi meraih 3 mata berharga.

Walaupun diuji dengan tentangan sengit oleh pasukan lawan, skuad Malayan Tigress yang diketuai oleh Steffi Sarge masih kekal tenang mengimbangi permainan dengan serangan dan pertahanan.

Jaringan tunggal yang dicari akhirnya tiba ketika aksi berbaki lagi 5 minit apabila pemain gantian, Farahiyah Ridzuan begitu tenang menolak bola ke pintu gol Palestin hasil lorongan Nur Adrienna.

Kemenangan tipis 1-0 ini meletakkan Malaysia kini di tangga kedua kumpulan H Kelayakan Piala Asia Wanita 2026 tatkala Palestin sekadar akur berada di kedudukan ke-3 buat masa ini.

Pendahulu kumpulan H ketika ini menjadi milik pasukan ke-9 dunia, Korea Utara yang tak berdepan masalah membelasah Tajikistan 10-0 di hadapan penyokong tuan rumah itu sendiri.

Skuad wanita Malaysia dan Korea Utara berkongsi 3 mata di dua tempat teratas kumpulan H namun perbezaan jaringan memisahkan kedua-dua negara dengan kelebihan memihak juara Asia 3 kali itu.

Aksi seterusnya bakal menyaksikan Malaysia akan berdepan ujian mencabar menentang tuan rumah, Tajikistan manakala Palestin akan bertemu pasukan kedua terbaik di Asia, Korea Utara pada 2 Julai.

Untuk makluman, hanya juara setiap kumpulan sahaja yang bakal layak ke Piala Asia Wanita 2026 mengikuti jejak 4 lagi negara yang sudah mara lebih awal; Australia (tuan rumah), China, Jepun dan Korea Selatan.