Kedudukan Terkini Malayan Tigress Selepas Tundukkan Tajikistan
MakanBola
FA Malaysia

Skuad Malayan Tigress ketika ini berada di landasan terbaik bagi melakar kejutan ke Piala Asia Wanita setelah tewaskan Tajikistan dalam aksi kedua.

Saingan Kelayakan Piala Asia Wanita 2026 kini memasuki hari perlawanan kedua pada Rabu dengan Malaysia akan bertemu pasukan tuan rumah kumpulan H, Tajikistan di Dushanbe.

Anak didik Joel Cornelli membawa momentum positif setelah berjaya memungut 3 mata pertama hasil kemenangan tipis 1-0 ke atas pasukan Palestin pada Ahad lalu.

Sementara Tajikistan pula mahu bangkit di hadapan peminat sendiri selepas alami kekalahan besar 0-10 di tangan Korea Utara selain mendapatkan kemenangan yang pertama.

Walau bagaimanapun, impian Tajikistan itu tidak kesampaian gara-gara jaringan di masa tambahan oleh Henrietta Justine memberi kemenangan dan 3 mata berharga untuk Malaysia.

Henrietta Justine yang dibawa masuk ketika aksi berbaki 10 minit lagi muncul heroin Malayan Tigress apabila menanduk kemas hantaran Intan Sarah untuk gol tunggal perlawanan.

Kemenangan 1-0 Malaysia ini meletakkan Malaysia kekal di tangga kedua carta kumpulan H dengan 6 mata, berkongsi mata bersama pendahulu, Korea Utara namun dipisahkan oleh perbezaan gol.

Korea Utara yang berada di ranking ke-9 dunia merekodkan satu lagi kemenangan besar 10-0 mengatasi Palestin dalam satu lagi aksi kumpulan H pada Rabu untuk menerajui carta.

Aksi terakhir kumpulan H pada 5 Julai hadapan bakal menjadi detik penentuan buat Malayan Tigress apabila bakal bertemu Korea Utara bagi merebut satu tempat ke Piala Asia Wanita di Australia pada 2026.

Malaysia wajib meraih kemenangan sekurang-kurangnya 1-0 ke atas Korea Utara nanti bagi memastikan kejayaan mara ke Piala Asia Wanita buat kali pertama selepas 24 tahun.