Dengan Lionel Messi sah tidak akan kekal di PSG, antara kelab yang dikhabarkan mahu mendapatkan khidmatnya ialah kelab Arab Saudi, Al-Hilal. Tetapi perpindahan ini juga bakal memberi kesan yang tidak disangka-sangka kepada bekas penyerang Manchester United, Odion Ighalo.
Menurut laporan Sky Sports News, penyerang Nigeria itu mempunyai baki kontrak selama dua bulan bersama The Blue Waves. Tetapi sehingga hari ini, pengurusan Al-Hilal tidak memberi sebarang tanda mahu memperbaharui kontraknya.
Susulan itu, beberapa kelab Timur Tengah dikatakan berminat mengikat bekas penyerang Watford itu. Antara kelab yang menunjukkan minat ialah dua kelab Emiriah Arab Bersatu (UAE), Al-Ain dan Al-Nasr.
Keputusan Al-Hilal tidak memperbaharui kontrak Ighalo dilihat mahu memastikan situasi yang menyelubungi Cristiano Ronaldo semasa menyertai Al-Nassr tidak berulang ke atas mereka. Ini kerana Saudi Pro League hanya membenarkan sembilan pemain import dalam setiap pasukan yang bertanding.
Selepas Al-Alami berjaya membawa Ronaldo secara percuma, ia menimbulkan masalah kerana kelab sudah mempunyai sembilan tenaga import. Ini memaksa Al-Nassr melepaskan penyerang Cameroon, Vincent Aboubakar bagi membolehkan legenda Portugal itu dapat menjadi sebahagian daripada pasukan.
Beberapa laporan mendedahkan Al-Hilal sudah menggerakkan usaha merekrut Messi. Ini termasuk menawarkan pakej gaji tahunan berjumlah £400 juta (RM2.2 bilion) bagi mengatasi Barcelona dan kelab-kelab Major League Soccer (MLS).