Bekas bintang Jepun, Keisuke Honda bakal mewarnai saingan liga bola sepak Singapura pada musim hadapan.
Ini selepas kelab Albirex Niigata FC mengumumkan perpindahan bekas pemain perancang AC Milan itu menerusi satu kenyataan di semua platform rasmi mereka.
Perpindahan ini dilihat suntikan moral buat pasukan itu selari dengan perubahan nama Albirex kepada FC Jurong dalam saingan Singapore Premier League (SPL) musim 2026/27.
“Kami sukacita mengumumkan Keisuke Honda akan menyertai FC Jurong untuk musim 2026/27,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Sebaik perpindahan itu diumumkan, Honda mengakui merasa gembira kerana dapat menyertai bekas juara SPL musim 2023 itu.
“Saya gembira kerana berpeluang bermain untuk FC Jurong. Memandangkan usia saya kini mencecah 40 tahun, saya sedang mengejar beberapa cabaran (rekod) peribadi termasuk Rekod Dunia Guinness untuk menjaringkan gol dalam kebanyakan liga negara utama.
“Bagaimanapun, matlamat utama saya bersama kelab ini adalah memenangi kejuaraan liga. Terdapat beberapa pesaing yang sangat kuat, jadi ia akan menjadi cabaran yang sukar tetapi saya berazam untuk mencapainya,” katanya.
Selain menyuntik pengalaman dalam pasukan yang dibimbing Keiji Shigetomi itu, pengalaman Honda ditagih untuk membantu kelab itu maju ke hadapan.
Selain AC Milan, beliau pernah beraksi untuk Vitesse Arnhem, Nagoya Grampus Eight, VVV-Venlo, CSKA Moscow, CF Pachuca, Melbourne Victory, Botafogo, Paro FC, Neftchi Baku dan FK Suduva.