Hari ini, para penyokong Selangor teruja dengan satu hantaran media sosial kelab itu. Ini kerana pada hari ini, legenda bola sepak Jepun Keisuke Honda mengadakan lawatan ke kemudahan pusat latihan Gergasi Merah.
Lawatan Honda yang juga pengurus besar Kemboja diiringi oleh DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj. Selain melawat pusat latihan Selangor, bekas pemain A.C Milan itu turut menerima jersi Merah Kuning sebagai tanda penghargaan.
Lawatan ini turut mengundang spekulasi tentang kemungkinan Honda menyertai Selangor. Ini kerana Kemboja sebelum ini mengumumkan tugasan terakhir beliau ialah menyelia skuad bawah 22 tahun negara itu untuk Sukan SEA yang bakal berlangsung pada Mei ini.
Memulakan karier kejurulatihan bersama Kemboja pada 2018, Honda membantu menambahbaik pasukan itu termasuk merekodkan dua kemenangan dalam Piala AFF 2022.
Dengan rombakan yang dibuat pada struktur kejurulatihan Selangor musim ini, tidak mustahil sentuhan Honda juga menjadi buruan kelab itu. Bagaimanapun, Gergasi Merah perlu segera mendapatkannya kerana banyak kelab dan negara turut berminat mendapatkan Honda.