Pemain legenda Jepun, Keisuke Honda kembali dari persaraan dan telah menandatangani kontrak satu perlawanan bersama kelab dari Bhutan, Paro FC.
Khidmat bekas bintang AC Milan itu ditagih Paro FC bagi aksi penting dalam saingan AFC Challenge Cup menentang juara Liga Nepal 2023, Church Boys United yang dijadualkan pada 13 Ogos.
Berita kehadiran Keisuke Honda itu telah diumumkan pihak pengurusan Paro FC melalui laman web rasmi kelab tersebut.
“Paro FC sangat teruja untuk mengumumkan penambahan menarik Keisuke Honda, bintang bola sepak Jepun yang terkenal, kepada pasukan kami untuk perlawanan playoff Piala Cabaran AFC yang akan datang.
“Ketibaan Honda melambangkan cita-cita kami untuk bersaing di peringkat tertinggi bola sepak. Mempunyai pemain berkaliber seperti Honda bukan sahaja satu penghormatan yang luar biasa tetapi juga peluang penting untuk pertumbuhan dan pembangunan.
“Keisuke Honda telah menyertai Paro FC dengan kontrak satu perlawanan untuk beraksi dalam perlawanan Liga Cabaran Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menentang Nepal Church Boys United pada 13 Ogos,” umum Paro FC.
Bhutan merupakan negara ke-10 yang disertai Honda sepanjang karier bola sepak profesional beliau. Sebelum ini, beliau pernah menjadi pengurus skuad kebangsaan Kemboja dan turut pernah mewarnai liga kurang ternama seperti di Azerbaijan dan Lithuania.