Sebuah kelab yang beraksi dalam saingan Bundesliga dikhabarkan menyatakan minat untuk mengadakan satu perlawanan berdepan pasukan dari Liga Malaysia.
Memetik laporan yang diterbitkan Astro Arena, dikhabarkan kelab yang beraksi di Liga Jerman itu memilih Lembah Klang sebagai destinasi pilihan bagi pasukan tersebut menjalani kempen pra-musim.
Ketika ini, saingan Bundesliga masih berjalan dan dijangka tamat pada penghujung Mei kelak. Selepas itu, pastinya pasukan-pasukan dari sana akan mencari destinasi untuk persiapan pasukan sebelum bermulanya jendela musim baharu.
Dalam perkembangan lain, naib juara Liga Super Malaysia 2023 iaitu Selangor sedang dalam perbincangan untuk mengadakan perlawanan empat penjuru.
The Red Giants dikatakan berminat untuk menjemput beberapa pasukan negara-negara serantau dari Indonesia, Brunei dan Singapura untuk berentap dalam perlawanan ini.
Perlawanan ini dilihat sebagai persediaan terbaik buat skuad kendalian Nidzam Jamil sebelum kempen Liga Super Malaysia 2024 bermula pada Mei kelak.