Kelab Cristiano Ronaldo, Al-Nassr dikenakan sekatan perpindahan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) hari ini.
Akhbar Marca mendedahkan sekatan tersebut ada kaitan dengan perpindahan penyerang Leicester City, Ahmed Musa ke Al-Alami dengan yuran perpindahan €15 juta (RM77 juta) pada 2018.
FIFA menyatakan Al-Nassr gagal membayar klausa tambahan pemain Nigeria itu termasuk faedah berjumlah €460,000 (RM2.3 juta).
Knights of Najd sudah diberi amaran jika mereka gagal melangsaikan tunggakan tersebut, mereka bakal dikenakan sekatan perpindahan.
Perintah yang dikenakan pada 2021 itu kini dikuatkuasakan sekaligus Al-Alami tidak boleh mendaftarkan pemain untuk musim baru Saudi Pro League.
Antara yang terkesan sudah pastinya perpindahan pemain tengah Inter Milan, Marcelo Brozovic. Brozovic berpindah ke Al-Nassr dengan yuran perpindahan €18 juta (RM92 juta) baru-baru ini.
Knights of Najd turut diberi amaran sekiranya tunggakan tersebut masih gagal dilangsaikan, kelab tersebut akan diheret ke Jawatankuasa Disiplin FIFA untuk tindakan selanjutnya.
Al-Nassr menyatakan masalah tersebut wujud sebelum ia kini diambil alih oleh Dana Pengurusan Awam Arab Saudi (PIF).
Bagi mengelak isu ini berulang, pengurusan baru Al-Nassr akan segera melangsaikan tunggakan hutang dengan Foxes bagi membolehkan mereka kembali aktif dalam pasaran perpindahan.