Kelab futsal Indonesia, Rafhely United mendapat suntikan kepakaran Malaysia menerusi perlantikan Qusmaini Noor Rusli.
Perlantikan bekas jurulatih Gombak TOT United itu diumumkan kelab Sumatera Barat itu di platform media sosial rasmi mereka baru-baru ini.
“Selamat datang Coach Qusmaini di Rafhely FC, Coach Qusmaini akan menjadi ahli taktik dan strategi bagi pasukan Rafhely FC mengarungi Liga Pro Futsal musim 2024/2025. Berikan yang terbaik coach Qusmaini,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Qusmaini hadir dengan reputasi sebagai antara jurulatih futsal terbaik negara. Beliau masih segar daripada kejayaan membantu Selangor meraih pingat emas acara futsal Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.
Nama Qusmaini turut mewarnai saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) Divisyen 1 dengan Gombak TOT United. Meskipun kelab itu berdepan isu dalaman, itu tidak menghalang Gombak TOT United memberi saingan dalam Divisyen 1.
Ini termasuk kejayaan mereka menewaskan juara musim 2023, Pahang Rangers FC. Gombak TOT United menamatkan musim 2024 di tangga keenam.
Meskipun begitu, Rafhely dijangka berdepan cabaran sukar dalam saingan Liga Futsal Pro Indonesia musim 2024/25. Ini musim sulung mereka dalam liga berkenaan selepas muncul naib juara Liga Nusantara.
Rafhely dijangka bersaing dengan kelab-kelab hebat seperti Bintang Timur Surabaya, Black Steel Papua dan Kancil WHW.
Selain Gombak TOT United, Qusmaini juga pernah melatih skuad futsal Sumatera Barat, Kelantan dan Brunei.