Kelab Liga 1 Indonesia, Persebaya Surabaya memberi peringatan kepada jurulatih Indonesia, Shin Tae-yong tentang penjaga gol mereka, Ernando Ari.
Portal VNExpress melaporkan kelab tersebut berbuat demikian selepas terkejut dengan tindakan jurulatih Korea Selatan itu memanggil penjaga gol berusia 22 tahun itu.
Ini kerana Ernando baru saja pulih daripada kecederaan bahu yang dialami sejak Februari lalu.
Mengikut perancangan Persebaya, mereka merancang menghantar penjaga gol muda itu menjalani pemeriksaan perubatan pada 25 Mac bagi menguji tahap kecergasannya.
Namun begitu, perancangan tersebut berubah apabila Tae-yong memanggil Ernando. Ini mendorong mereka menghantar surat kepada Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) bagi menerangkan situasi kecederaannya.
“Persebaya menyokong usaha pasukan demi negara terutama perlawanan-perlawanan FIFA. Kami cuma minta mereka berwaspada dan mempertimbang keadaan Ernando terlebih dahulu,” kata setiausaha kelab, Ram Surahman.
Seandainya Ernando tidak cergas, Tae-yong perlu menggunakan Adi Satryo sebagai penjaga gol utama untuk perlawanan Vietnam-Indonesia malam ini.
Ini kerana dua lagi penjaga gol iaitu Muhammad Riyandi dan Nadeo Argawinata dilaporkan tidak cergas. Nadeo terpaksa diketepikan akibat kecederaan dengan Riyandi pula baru pulih daripada demam.