Advertisement
Kelab J-League, FC Tokyo Risik Khidmat Rizky Ridho
Transfer
MakanBola
Timnas Indonesia

Bek tengah Indonesia, Rizky Ridho Ramadhani berpeluang mengikut jejak beberapa pemain negara itu beraksi di luar negara.

Akaun X FC Tokyo Watch melaporkan bek tengah Persija Jakarta itu diintai kelab J1 League, FC Tokyo. Nama Rizky menjadi bualan kerana membantu Indonesia merekodkan beberapa keputusan cemerlang di peringkat antarabangsa.

Ini termasuk kejayaan Tim Garuda menewaskan Arab Saudi dalam perlawanan pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 Zon Asia pada November lalu.

Nama Rizky dilaporkan sebahagian daripada tiga pemain dalam radar pengurusan FC Tokyo sebagai persiapan untuk musim 2025. Selain beliau, pasukan itu ingin mendapatkan Sei Muroya (Hannover 96) dan Timmy Thiele (Energie Cottbus).

Kelab Marselino Ferdinan, Oxford United dan juara Liga Perdana Inggeris (EPL) 2015/16, Leicester City turut dilaporkan berminat mendapatkan Rizky.

Sekiranya berlaku perang bidaan membabitkan ketiga-tiga kelab itu, FC Tokyo bersedia untuk menarik diri dan fokus kepada pemain lain.

Oxford United yang dimiliki Presiden Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir dan Anindya Bakrie dilihat mahu menambah seorang lagi pemain Indonesia dalam pasukan itu.

Leicester pula dilaporkan melihat Rizky sebagai pemain Asia ideal untuk memperkuat pasukan itu. Kali terakhir pemain Asia mewakili The Foxes ialah Shinji Okazaki dari 2015 hingga 2019.

Beliau merekodkan 137 penampilan, 19 gol dan lima bantuan gol semasa bersama Leicester. Okazaki kemudiannya menyertai beberapa kelab sebelum bersara pada Julai 2024.