Wakil Kemboja, Svay Rieng FC hampir mencipta sejarah sebagai wakil Kemboja pertama memenangi kejuaraan di peringkat Asia.
Walau bagaimanapun, hasrat anak buah Pep Munoz merealisasikan impian itu musnah apabila tewas 2-1 kepada FK Arkadag dalam aksi final AFC Challenge League.
Svay Rieng tampak bersemangat lebih-lebih beraksi di hadapan penyokong Kemboja di Stadium Nasional Morodok Techo.
FK Arkadag terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi pemain pertahanan berpengalaman, Mekan Saparow pada minit ke-59.
Tatkala pasukan Turkmenistan itu menyangka mereka telah meraih gelaran juara, gol Saret Krya pada minit ke-82 mengheret perlawanan ke masa tambahan.
Pemain gantian Arkadag, Altymyrat Annadurdyyew muncul wira dengan meledakkan gol kemenangan pada minit ke-112.
Gol tersebut sudah cukup menjadikan Arkadag muncul pasukan Turkmenistan yang ketiga meraih kejuaraan di peringkat Asia.
Mereka mengikut jejak Balkan dan HTTU Asgabat yang meraih trofi AFC President’s Cup pada 2013 dan 2014.