Advertisement
Kelab Korea Buat Servis Sewa Jersi Pasukan Serendah RM35
Asia
MakanBola
Seoul E-Land

Kelab K-League 2, Seoul E-Land menarik perhatian ramai dengan menawarkan perkhidmatan sewa jersi pada harga 10,000 won (RM35).

Korea JoongAng Daily melaporkan perkhidmatan Bilik Persalinan Lenjang ini bertujuan menggalakkan penyokong datang ke stadium dengan memakai jersi pasukan tersebut.

Perkhidmatan ini menarik perhatian bukan saja pengunjung kali pertama. Malah, ini bakal menarik perhatian pelancong dan keluarga yang bertandang ke stadium tanpa perlu berbelanja besar untuk mendapatkan jersi.

Untuk makluman, harga jersi Seoul E-Land sekitar 100,000 won (RM352) – satu jumlah wang yang amat besar. Justeru, bagi penyokong yang kurang berkemampuan, perkhidmatan sewa jersi dilihat satu kelegaan buat mereka.

Selain sewa 10,000 won (RM35), mereka hanya perlu membayar 10,000 won (RM35) lagi untuk deposit. Selain itu, mereka juga kena menyerahkan dokumen pengenalan diri bagi membantu proses pemulangan jersi selepas tamat perlawanan.

Penyokong juga diberi pilihan untuk memilih jersi mana yang mereka mahu. Seoul menawarkan koleksi jersi mereka dari musim 2018 hingga 2022 sebagai pilihan untuk disewa.

Seoul mula mencuba idea ini selepas melihat lebih ramai penonton hadir ke Kompleks Sukan Mokdong sementara stadium mereka di Jamsil sedang menjalani proses penambahbaikan.

Perkhidmatan sewa jersi Seoul E-Land bakal dibuka pada Sabtu ini apabila mereka melayan Cheonan City dalam aksi K-League 2.

Seoul E-Land bukan satu-satunya kelab di dunia yang menawarkan perkhidmatan sebegini. Kelab J1 League, Yokohama F. Marinos turut menawarkan perkhidmatan sama kepada penyokong mereka.

Begitupun, ada sedikit perbezaan dari segi perkhidmatan sewa jersi Marinos. Pertama, jersi hanya boleh disewa oleh penyokong yang mempunyai kad J-League.

Kedua, penyokong yang mahu menyewa jersi Marinos perlu membuat temujanji tiga hari sebelum jersi tersebut disewa.