Kelab Liga Super Buru Dua Bintang Imigresen
MakanBola
Imigresen FC

Biarpun baru saja bergelar juara Liga M3 baru-baru ini, Imigresen FC berpotensi kehilangan dua bintang mereka.

Ini selepas wartawan Astro Arena, Zulfahmi Zainal Azam mendedahkan Abdul Azim Rahim dan Ahmad Syamim Yahya sedang diintai beberapa pasukan Liga Super.

“Tak comfirm main Liga Super, Imigresen FC tak halang pemain berhijrah ke pasukan lain musim depan. Penjaring terbanyak Azim Rahim dalam radar beberapa pasukan Liga Super selain Ahmad Syamim Yahya,” katanya di X.

Nama Azim terus menjadi sebutan ramai kerana bertanggungjawab mengepalai bahagian serangan The Mighty Tigers musim ini.

Bekas penyerang Penang FC itu menamatkan kempen Liga M3 dengan menyumbat 24 gol.

Manakala Syamim pula merupakan pemain sayap Imigresen yang menjadi duri dalam daging kepada pasukan lawan.

Biarpun sudah berusia 33 tahun, bekas pemain sayap Melaka United itu menyumbang dua gol untuk kempen mereka musim ini.

Ketika ini, Imigresen perlu melepasi pemeriksaan First Instance Body (FIB) bagi membolehkan mereka mendapat lesen untuk beraksi di Liga Super musim hadapan.

Selain itu, The Mighty Tigers juga dilaporkan bakal membuat rombakan bagi membantu pasukan itu menjadi lebih mantap selepas ini.