Penyokong boleh diandaikan sebagai tulang belakang kepada sesebuah pasukan bola sepak. Tanpa penyokong, tiada makna sebuah pasukan itu dibina.
Itu yang berlaku kepada sebuah kelab penyokong yang menyokong pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC). Kelab penyokong yang diberi nama Kelab Penyokong Green Yellow Supporters Club (GYSC) itu mengambil insiatif membuat siri jelajah Sang Kenari ke daerah-daerah di negeri Kedah.
Dalam siri jelajah tersebut, pelbagai aktiviti dijalankan bersama peduduk setempat seperti kuiz dan cabaran menanduk bola. Dalam masa yang sama, GYSC juga akan membantu pengurusan Kedah untuk menambah pendapatan melalui penjualan koleksi barangan rasmi KDA FC.
Inisiatif sukarela tersebut adalah ilham daripada pengasas GYSC, Encik Jusnaidi bin Johaari dan ianya mendapat sokongan penuh pihak pengurusan KDA FC. Perkara tersebut telah dikongsikan dalam laman Instagram rasmi KDA FC.
Inisiatif dari kelab penyokong ini wajar diberikan pujian tambahan pula pasukan Kedah ketika ini berada dalam situasi yang sukar dengan isu tunggakan gaji yang membelenggu.
Kedah kini berada di tangga ketiga Liga Super dengan mengumpul 50 mata daripada 23 perlawanan yang telah dilalui. Kedah ketinggalan 2 mata kepada pasukan Selangor FC yang kini di tangga kedua.
Kedua-dua pasukan kini dalam perebutan untuk mendapatkan tempat kedua liga bagi mencerahkan peluang beraksi di pentas asia musim hadapan.