Kelab Terkemuka England Hadapi Masalah Tunggakan Gaji
MakanBola
Sheffield Wednesday FC

Kelab divisyen dua England, Sheffield Wednesday terus berdepan masalah tunggakan gaji.

Terbaru, BBC Sport melaporkan kelab yang berpangkalan di Yorkshire itu didapati lewat membayar gaji pemain dan staf buat kali ketiga.

Sebelum ini, The Owls turut berdepan isu sama apabila lewat membayar gaji pada Mac dan Mei lalu. Susulan itu, Liga Bola Sepak Inggeris (EFL) telah mengambil tindakan pantas.

EFL kini menghukum Wednesday dengan sekatan perbelanjaan yuran perpindahan untuk tiga tetingkap perpindahan iaitu musim panas 2025 dan dua lagi pada 2026.

Ini bermakna kelab yang dimiliki jutawan Thailand, Dejphon Chansiri itu hanya boleh mendapatkan pemain yang berstatus ejen bebas.

Situasi ini mendorong Ahli Parlimen Sheffield South East, Clive Betts menggesa Dejphon untuk melepaskan kelab tersebut kepada pemilik yang lebih bertanggungjawab.

Selain Betts, bekas pemilik The Owls, Milan Mandaric juga menggesa jutawan Thailand itu untuk mengambil langkah sama.

Jutawan Serbia-Amerika itu dilaporkan mahu melancarkan usaha pengambilalihan Wednesday. Walau bagaimanapun, tidak diketahui sama ada Mandaric membuat bidaan secara solo atau membentuk konsortium pelabur untuk pengambilalihan kelab tersebut.

Nama Wednesday cukup dikenali peminat bola sepak Malaysia. Ini kerana ini antara kelab bekas bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Fernando Forestieri.