Kelab Vietnam, Becamex Binh Duong menyimpan cita-cita untuk mendapatkan legenda Croatia, Luka Modric.
Hasrat ini dinyatakan sendiri jurulatih pasukan itu, Hoang Anh Tuan kepada portal TheThao247 pada 23 Julai lalu.
Anh Tuan yang sebelum ini pernah membimbing skuad Vietnam Bawah 23 Tahun (B-23) melihat pemain import sehebat Modric mampu memberi inspirasi kepada Binh Duong.
Ini juga selaras dengan hasratnya untuk membawa pemain terbaik menyertai pasukan itu. Ini sekaligus dapat membantu Binh Duong memperbaiki pencapaian naib juara yang diraih pada musim 2023/24.
“Saya mahu membawa pemain terbaik untuk bermain untuk Binh Duong. Tetapi ini juga bergantung kepada banyak faktor seperti dokumentasi, kontrak dan yang paling penting, sama ada pemain tersebut ingin menyumbang kepada Binh Duong atau tidak.
“Saya tidak biasa untuk mengatakan apa yang saya belum miliki tetapi saya inginkan lagi. Buat masa ini, saya mahu membawa pemain tengah Luka Modric ke sini walaupun beliau berusia 40 tahun.
“Selain faktor profesionalisme (Modric), perjanjian ini juga membawa motivasi dan rangsangan kepada bola sepak Vietnam,” katanya.
Sebelum ini, arena bola sepak Vietnam pernah diserikan dengan kehadiran legenda Brazil, Denilson. Denilson membuat kejutan dengan menyertai kelab Vietnam, Hai Phong pada 2009.
Meskipun ada yang menganggap impian mendapatkan Modric ini bersifat mustahil, Anh Tuan melihat legenda Brazil itu sebagai contoh terbaik. Ini kerana perpindahan berprofil tinggi sebegitu mampu memberi motivasi terutama pemain akar umbi.
“Hai Phong pernah membawa penyerang Brazil terkenal Denilson untuk bermain, jadi mengapa tidak Binh Duong? Kehadiran bintang berkaliber itu akan menyumbang kepada mempromosikan budaya bola sepak dan mewujudkan momentum yang lebih baik untuk pembangunan (akar umbi),” tambahnya.
Sebarang usaha untuk mendapatkan Modric buat masa ini perlu ditangguhkan. Ini kerana bekas bintang Spurs itu kekal bersama Real Madrid selepas memeterai kontrak selama setahun baru-baru ini.
Anh Tuan kini sibuk mempersiapkan Binh Duong untuk kempen V. League 1 musim 2024/25 yang akan bermula pada 13 September ini.