Kelana United Bawa Cabaran Malaysia Ke Pentas Asia
MakanBola
Kelana United

Kelana United bakal membawa cabaran Malaysia dalam saingan Liga Juara-Juara Wanita AFC (AWCL) musim 2025/26.

ASEAN Football melaporkan kelab yang berpangkalan di Selangor itu bakal menjadi tuan rumah pusingan kelayakan AWCL.

Selain Kelana United, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) turut memilih wakil Uzbekistan, PFC Nasaf dan kelab Myanmar, ISPE WFC sebagai tuan rumah.

Kelana United terpilih ke AWCL musim 2025/26 selepas berjaya menjadi juara Liga Wanita Nasional (LWN) 2024.

Kelana United mengatasi cabaran juara dan pasukan Malaysia pertama beraksi di AWCL, Sabah FA di peringkat akhir.

Dua tonggak berpengalaman Malayan Tigress, Steffi Sarge Kaur dan Intan Sarah Anisah Zulgafli dijangka mengetuai cabaran pasukan itu.

Saingan AWCL 2025/26 menyaksikan 26 pasukan mengambil bahagian dengan 19 daripadanya beraksi di peringkat kelayakan.

Lima negara turut membuat kemunculan sulung dalam AWCL kali ini. Lima negara tersebut ialah Guam, Korea Utara, Mongolia, Kemboja dan Kyrgyzstan.

Undian peringkat kelayakan AWCL 2025/26 bakal diadakan di AFC House, Kuala Lumpur pada 3 Julai ini.