Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) perlu berdepan KL City FC tanpa kelibat kapten Oday Kharoub dan bek tengah Republik Czech, Michal Jerabek.
Ini kerana dua tonggak import Sang Kijang Emas itu perlu menjalani penggantungan satu perlawanan selepas mengutip kad kuning ketiga.
Oday dan Jerabek mengutip kad kuning ketiga mereka dalam aksi Liga Super menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada 27 September lalu.
Aksi berkenaan menyaksikan Kelantan DN meraih kemenangan tipis 3-2 ke atas Sang Rusa. Hakimi Abdullah, Kim Li-kwan dan Oday mencipta nama sebagai penjaring.
Ketiadaan Jerabek dijangka mendorong jurulatih Sang Kijang Emas, Park Jae-hong untuk menurunkan Umeir Aznan sebagai pengganti.
Bek tengah berusia 24 tahun itu bersedia membalas kepercayaan jurulatih Korea Selatan itu sekiranya diberi peluang beraksi bersama Li-kwan di bahagian pertahanan tengah.
“Bagi saya, kepercayaan jurulatih adalah paling utama. Jika saya dipilih masuk dalam kesebelasan pemain pada perlawanan dengan KL (City), bermakna jurulatih memberi kepercayaan kepada saya.
“Saya akan berusaha keras untuk membalas kepercayaan itu, Insya Allah, jika disenaraikan saya akan memberi sumbangan kepada pasukan dalam usaha merebut mata di Cheras nanti.
“Bagaimanapun, dalam beberapa hari ini, saya kena tunjuk usaha keras ketika sesi latihan untuk menempatkan diri. Sebagai pemain profesional, saya akan terus bersaing supaya tidak tercicir,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain Umeir, Jae-hong juga mempunyai pilihan untuk menurunkan Muhammad Mohd Faudzi atau Arip Amiruddin di bahagian bek tengah.
Jae-hong memiliki beberapa pilihan untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Oday di bahagian tengah. Antara pilihan alternatif beliau ialah Zuasyraf Zulkiefle, Fakhrul Che Ramli, Adam Danial Mohd Zaid atau Aqil Hussni.
Kelantan DN bakal berdepan The City Boys di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 18 Oktober ini.