Kelantan Red Warrior bebas penuh sekatan FIFA bagi jendela perpindahan kedua Liga Malaysia musim ini.
Pada 22 Januari, kelab Kelantan RW telah menerima keputusan bebas penuh sekatan FIFA sekali gus memberikan kelegaan kepada kem pasukan tersebut.
Menurut Kelantan RW, kelab mereka telah menerima maklum balas dari FIFA berkenaan isu sekatan dan semua sekatan telah ditarik balik.
“Untuk makluman, Kelantan Red Warrior FC telah menerima surat pengesahan daripada FIFA pada 22 Januari 2026 yang memaklumkan bahawa sekatan perpindahan pemain yang dikenakan pada 19 Disember 2025 telah ditarik balik sepenuhnya.”
“Menurut penjelasan FIFA, pertanyaan yang dikemukakan kepada pihak Pol Corpas Cuatrecasa berhubung kes tuntutan berkenaan tidak menerima sebarang maklum balas. Sehubungan itu, prosiding semasa yang melibatkan Kelantan Red Warrior FC telah ditutup dan larangan pendaftaran pemain baharu telah ditarik balik secara kekal.”
Tambahan, pihak kelab menegaskan bahawa Kelantan RW bukan entiti yang sama dengan Kelantan FC.
“Pihak pengurusan menegaskan bahawa isu ini sebenarnya tidak sepatutnya dikaitkan dengan Kelantan Red Warrior FC kerana kelab ini tidak terlibat secara langsung dalam permasalahan seperti yang dilaporkan. Keadaan tersebut telah menyebabkan beberapa urusan kelab, termasuk pendaftaran pemain, tertangguh.”
“Selaras dengan pembukaan tempoh perpindahan kedua pemain, pengesahan ini membolehkan pihak kelab mendaftarkan pemain baharu bagi menghadapi baki saingan musim 2025/26,” kata Kelantan RW dalam satu kenyataan di laman media sosial.
Kelantan RW dijangka bakal menggunakan khidmat pemain import baharu iaitu Wesley Barnaske pada aksi kedua pusingan 16 saingan Piala Malaysia musim 2025/26 ketika menentang Brunei DPMM pada 24 Januari.