Kelantan RW Bangkit Ikat Terengganu
MakanBola
Kelantan Red Warrior FC

Terengganu dan Kelantan Red Warrior (Kelantan RW) akur terikat seri dalam aksi persahabatan yang diadakan pada Jumaat.

Aksi pra-musim yang berlangsung di Kota Bharu ini menarik minat ramai peminat sebagai persiapan bagi hadapi Liga A1 manakala Terengganu juga turun buat kali pertama selepas berehat panjang.

Jurulatih Kelantan RW, Irfan Bakti menurunkan dua calon pemain import, Kayden Kosper dan Chijoke James dalam aksi kali ini tatkala Shahrul Nizam mengetuai kesebelasan utama Terengganu.

Aksi berlangsung seimbang di awal permainan dengan Sang Penyu tampak lebih selesa mengawal penguasaan bola dan memaksa Kelantan RW lebih banyak melakukan serangan balas.

Kebuntuan jaringan akhirnya terlerai juga pada minit ke-29 setelah percubaan Syahmi Zamri gagal diselamatakan oleh Nik Amin bagi meletakkan pasukan Terengganu di hadapan 1-0.

Separuh masa pertama tamat, Kelantan RW 0-1 Terengganu.

Bersambung babak kedua, Kelantan RW tak menunggu lama bagi kembali mengikat kedudukan hasil jaringan oleh pemain gantian, Fazli Ghazali sekaligus menceriakan penyokong tuan rumah.

Keceriaan itu tidak bertambah lama selepas Terengganu juga berjaya mencetak gol selang 7 minit kemudian menerusi bek tengah kebangsaan, Safwan Mazlan untuk pelawat kembali mendahului.

Kapten Kelantan RW, Yusri Yuhasmadi muncul wira pasukan tuan rumah dengan gol penyamaan hasil tandukan lambung berpunca daripada sepakan sudut bagi menembusi gawang lawan buat kali kedua.

Aksi di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu ini berakhir dengan keputusan terikat seri 2-2.