Menyedari ketumpulan barisan serangan Kelantan United selepas tiga perlawanan Liga Super, pengurusan Kijang Hijau membawa masuk seorang lagi penyerang import. Hari ini, kelab mengumumkan perpindahan Gregory Rocha secara rasmi.
Gregory Rocha atau nama sebenarnya Gregory Rocha Mendes Da Silva dijangka tidak berdepan masalah menyesuaikan diri dengan persekitaran di Kelantan. Ini kerana penyerang berusia 27 tahun itu menyertai dua rakan senegara, Yan Victor (bek tengah) dan Devid Silva (penyerang).
Sebelum menyertai Kelantan United, Gregory Rocha pernah beraksi untuk Gremio Barueri, Nacional-SP, Paracatu, Vidago dan CD Cinfaes.
Dengan satu-satunya gol Kijang Hijau disumbang oleh pemain veteran, Indra Putra Mahyuddin, ramai penyokong Kelantan United berharap kehadiran Gregory Rocha dapat menyelesaikan masalah ketumpulan bahagian serangan.
Selain Gregory Rocha, Devid Silva dan Yan Victor, Kelantan United turut menyenaraikan Morgaro Gomis, Ernist Batyrkanov dan OJ Porteria sebagai awang import mereka untuk musim 2023.