Advertisement
Kelayakan Piala Asia B-17: Afghanistan Belasah Filipina Tanpa Belas Kasihan
Asia
MakanBola
Afghanistan FF

Hajat Filipina meneruskan rentak kemenangan dalam pusingan kelayakan Piala Asia B-17 2025 tidak kesampaian apabila dibelasah Afghanistan 8-0.

Skuad muda Filipina memburu kemenangan kedua dalam Kumpulan B selepas membelasah Macau 7-0. Sementara Afghanistan pula mahu membuka kempen kumpulan dengan kemenangan.

Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan berusaha mendapatkan kelebihan gol awal.

Afghanistan membuat permulaan pantas dalam perlawanan menerusi Muhammad Waris Shirzai seawal minit keenam. Shirzai yang tidak dikawal mudah menolak bola melepasi penjaga gol Far Eastern University, Gianne Abara.

Tersentak, Filipina yang diperkuat beberapa pemain muda yang berpangkalan di luar negara termasuk kapten, Peter Mirasol berusaha memburu jaringan penyamaan.

Tatkala pasukan yang dibimbing Taketomo Suzuki itu rancak menyerang, gawang mereka bocor lagi pada minit ke-41. Shirzai sekali lagi menjadi duri dalam daging kepada pertahanan Filipina dengan mencipta nama sebagai penjaring.

Filipina bernasib baik mereka tidak ketinggalan 3-0 semasa rehat. Ini selepas gol Nawid Mahbobi dibatalkan pengadil selepas dikesan berada pada kedudukan ofsaid.

Bersambung pada babak kedua, jurulatih Afghanistan, Elias Ahmed Manoucher membuat pertukaran penjaga gol dengan memasukkan Abdul Rahem Rasuly menggantikan Fazluddin Amini.

Filipina makin derita apabila seorang lagi pemain gantian Afghanistan, Arash Ahmadi meledakkan gol ketiga pasukan itu pada minit ke-58. Kawalan bola yang longgar daripada pertahanan Filipina pantas dihukumnya sebelum menolak bola melepasi Abara.

Beberapa minit selepas itu, giliran Yaser Safi menceriakan kem Afghanistan. Safi mudah menyempurnakan hantaran Zamir Shoja bagi menjadikan kedudukan 4-0 buat pasukan Asia Tengah itu.

Gawang Filipina bocor lagi buat kali kelima apabila Ahmadi menanduk bola deras melepasi Abara pada minit ke-66.

Mahbobi menebus kehampaan pada separuh masa pertama dengan meledakkan gol keenam Afghanistan pada minit ke-74.

Jawad Ibrahimi menyumbat gol ketujuh Afghanistan pada minit ke-81. Penalti Sahil Sarwari pada minit akhir perlawanan memastikan Afghanistan meraih kemenangan 8-0.

Kemenangan besar ini membantu pasukan Asia Tengah itu menerajui Kumpulan B dari segi kelebihan jaringan. Walau bagaimanapun, kedudukan kumpulan dijangka berubah seandainya Kemboja meraih kemenangan ke atas Macau.

Selepas ini, Filipina bakal berdepan Bangladesh pada 23 Oktober. Sementara Afghanistan pula mahu menambah satu lagi kemenangan bila berdepan Macau pada hari yang sama.