Kelayakan Piala Asia B-17: Iraq Menang Selesa Atasi Palestin
MakanBola
Palestine FA

Iraq meneruskan rentak cemerlang pada pusingan Kelayakan Piala Asia B-17 setelah mencatat kemenangan selesa dengan mengatasi Palestin pada Jumaat.

Setelah cemerlang membelasah Chinese Taipe pada Rabu, Iraq turun berdepan Palestin yang berhasrat untuk bangkit meraih kemenangan selepas tumbang 0-3 di tangan Uzbekistan.

Ini merupakan pertemuan pertama Iraq dan Palestin bertemu dalam kejohanan peringkat umur bawah 17 tahun sekaligus menghangatkan lagi pertembungan di antara kedua-dua negara.

Selaku juara edisi 2016, Iraq bermula positif apabila terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi ledakan berbisa oleh penyerang, Ameer Falah Hasan pada minit ke-16 permainan.

Seakan tersentak, Palestin berusaha bangkit mencari jalan bagi merobek gawang lawan namun kekebalan pertahanan ditambah pula faktor fizikal memberi sedikit kelebihan buat Iraq.

Separuh masa pertama tamat, Palestin 0-1 Iraq.

Kembali dari rehat, Iraq yang dibimbing oleh Ahmed Kadhim memulakan siri serangan ke arah pintu gol lawan sehingga memaksa Palestin ‘berkampung’ bagi menahan asakan.

Usaha berterusan Iraq akhirnya membuahkan hasil apabila Al Al Ridha menambah kelebihan Lions of Mesopotamia dengan jaringan kedua ketika permainan memasuku minit ke-64.

Kelebihan dua gol membuatkan Iraq mengedurkan sedikit serangan dan membuka peluang buat Palestin melakukan serangan namun tiada gol dapat dihasilkan oleh anak didik Firas Abu Radwan.

Di masa tambahan, Karrar Al Saeedi dan Ameer Falah Hasan memastikan tiga mata penuh menjadi milik Iraq dengan gol ketiga dan keempat sekaligus membuatkan Palestin tewas buat kali kedua.

Aksi di Fu Jen Catholic University Stadium berakhir dengan kemenangan 4-0 memihak Iraq.

Aksi kelayakan seterusnya menyaksikan Iraq bakal berdepan ujian sebenar, Uzbekistan yang merupakan semi finalis edisi lalu manakala Palestine akan menentang Chine Taipei pada 27 Oktober.