Indonesia dan Timor Leste hari ini berentap untuk aksi kedua dalam kempen Kelayakan Piala Asia B-20 bagi saingan Kumpulan F.
Seawal minit ke-12 permainan, penyerang sensasi Indonesia, Jens Raven memecah kebuntuan perlawanan untuk jaringan pertama Sang Garuda.
Tiga minit selepas jaringan pertama terhasil, Indonesia sekali lagi menembusi gawang Timos Leste selepas Riski Afrisal mencatat nama sebagai penjaring. Jaringan itu menutup cerita di babak separuh masa pertama dengan Indonesia mendahului Timor Leste dengan keputusan 2-0.
Bersambung aksi di babak kedua, Timor Leste berjaya mendapat satu gol pada minit ke-65 permainan. Gelecekan bertenaga Luis Figo memastikan gol pertama diraih Timor Leste untuk merapatkan kedudukan.
Pada minit ke-77 permainan, Indonesia melebarkan kedudukan apabila jaringan ketiga terhasil menerusi M Ragil. Hantaran daripada kapten pasukan, Dony Tri telah mudah disempurnakan Ragil untuk jaringan tambahan buat Sang Garuda.
Jaringan Ragil itu memastikan tiga mata berharga menjadi milik anak buah Indra Sjafri selepas keputusan penuh perlawanan, Indonesia 3-1 Timor Leste.
Dalam saingan Kumpulan F ketika ini, Indonesia mengungguli di kedudukan pertama selepas meraih enam mata selepas menang dalam dua perlawanan. Pasukan Yaman di tempat kedua, Timor Leste di kedudukan ketiga dan Maldives berada di tempat terakhir dalam carta Kumpulan F, kempen Kelayakan Piala Asia B-20.