Kelayakan Piala Asia B-20: Malaysia Benam Laos
MakanBola
Lao FF

Skuad Malaysia Bawah 19 Tahun (B-19) menutup kempen kelayakan Piala Asia B-20 2027 dengan kemenangan apabila menewaskan Laos di Vientiane.

Selepas Indonesia muncul juara Kumpulan H dengan menewaskan Australia, peluang Malaysia untuk layak dilihat masih terbuka. Justeru, aksi ini dilihat peluang buat anak buah Shukor Adan menjamin kelayakan dengan kemenangan.

Penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT) III, Faez Iqhwan Muhammad Azmi terus menjadi sandaran Shukor Adan mengawal benteng terakhir negara.

Separuh masa pertama menyaksikan Malaysia melancarkan serangan menerusi gandingan kapten Amar Imran Uzaini Ashadi, Arayyan Hakeem Norizam, Izzuddin Afif Nazarudin dan Fadhlul Hadi Zulkarnain.

Malaysia meraih gol pendahuluan seawal minit ketujuh menerusi Haziq Aziz Ahyok Abdul Qayyim. Cubaan Haziq memerangkap penjaga gol Laos, Souksamone Vethita.

Skuad muda negara berusaha mencari gol tambahan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat separuh masa.

Bersambung selepas rehat, Malaysia terus meningkatkan serangan untuk memburu jaringan tambahan. Meskipun begitu, Laos memiliki idea berbeza dengan menyumbat gol penyamaan pada minit ke-61.

Odin Siphanit berjaya melepasi benteng skuad Malaysia B-19 sebelum menewaskan Faez Iqhwan. Gol itu juga merupakan gol pertama Laos dalam pusingan kelayakan.

Keceriaan penyokong Laos hanya bertahan selama 16 minit. Kem Malaysia kembali ceria apabila Fadhlul Hadi menyumbat gol kedua pada minit ke-77.

Laos berusaha mencari gol penyamaan buat kali kedua tetapi keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Malaysia menamatkan kempen di tempat kedua di belakang Indonesia.

Peluang Malaysia layak ke Piala Asia B-20 dijangka diketahui selepas tamat semua aksi terakhir kumpulan pusingan kelayakan.