Pasukan Malaysia Bawah 20 Tahun (B-20) bakal berdepan cabaran sukar dalam aksi kelayakan Piala Asia B-20 2025.
Ini kerana pasukan negara yang dibimbing jurulatih Sepanyol, Juan Torres Garrido bakal berdepan cabaran Korea Utara, Oman, Sri Lanka dan tuan rumah Tajikistan dalam Kumpulan E.
Ini selepas keputusan cabutan undi kumpulan kelayakan Piala Asia B-20 2025 diumumkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini.
Menariknya, skuad negara kembali ditemukan dengan Sri Lanka buat kali kedua di peringkat kelayakan. Kali terakhir kedua-dua negara bertemu ialah kelayakan Piala Asia B-20 2023 dan ironinya, dalam kumpulan sama iaitu Kumpulan E.
Malaysia yang ketika itu dibimbing Hassan Sazali Waras gagal layak selepas hanya merekodkan satu kemenangan, satu seri dan satu kekalahan.
Malaysia berharap dapat layak ke Piala Asia B-20 buat kali ke-24 selepas kali terakhir melakukannya pada tahun 2018.
Untuk rekod, Malaysia layak ke kejohanan itu sebanyak 23 kali dalam sejarah kejohanan. Hanya dua kali Malaysia menarik diri iaitu edisi 1985 dan 1988.
Pusingan kelayakan Piala Asia B-20 2025 bakal berlangsung dari 21 hingga 29 September ini. 10 juara kumpulan dan lima naib juara kumpulan terbaik akan layak ke kejohanan itu bersama tuan rumah, China.