Skuad Malaysia Bawah 20 Tahun (B-20) bakal berdepan cabaran sukar Korea Utara dalam aksi kedua kelayakan Piala Asia B-20 2025 di Dushanbe, Tajikistan.
Selepas berjaya mengalahkan Oman dalam aksi pertama Kumpulan E, anak buah Juan Torres Garrido kini berdepan cabaran wakil Asia Timur itu.
Korea Utara dilihat pasukan pilihan lebih-lebih lagi dengan empat pertemuan sebelumnya dalam pusingan kelayakan Piala Asia B-20 memihak kepada pasukan itu.
Mengikut statistik yang dinyatakan akaun X, HarimauMYstats, Malaysia tewas empat kali kepada Korea Utara pada pusingan kelayakan tahun 2007, 2009, 2011 dan 2015.
Kekalahan terbesar skuad negara kepada pasukan Asia Timur itu dicatatkan dalam pusingan kelayakan Piala Asia B-20 2012.
Skuad muda Malaysia yang ketika itu dibimbing Ismail Ibrahim tewas 4-1 kepada Korea Utara pada 6 November 2011. Kemenangan mereka diraih menerusi hatrik Pak Song-il dan gol Kang Nam-gwon.
Atas sebab itu, skuad muda negara perlu mempamerkan prestasi terbaik jika ingin mengekalkan momentum kemenangan dalam Kumpulan E.
Malaysia bakal berdepan Korea Utara untuk aksi kedua kumpulan pada 23 September di Stadium Republican Central, Dushanbe.