Perlawanan kumpulan B Kelayakan Piala Asia B-20 menyaksikan hasrat wakil Asia Tenggara, Kemboja melakar kemenangan kedua diranapkan oleh Uzbekistan.
Selaku juara bertahan edisi lalu, Uzbekistan memulakan aksi kelayakan kumpulan B bertemu Kemboja yang membelasah Nepal 4-1 dalam perlawanan pertama Sabtu lalu.
Barisan pemain Uzbekistan diketuai Mukhammadali Urinboev manakala Em Chhumsideth mengemudi benteng pertahanan Kemboja sambil dibantu oleh rakan sepasukan, Chhin Vennin.
Seawal minit ke-13, pintu gol Kemboja akhirnya dibolosi oleh bek kanan, Azizbek Tulkunbekov yang melakukan percubaan dari jarak jauh untuk meletakkan Uzbekistan di hadapan 1-0.
Meskipun diasak, Kemboja sempat melancarkan serangan ke arah kubu lawan namun rembatan It Sony tinggi melambung melepasi jangkauan penjaga gol Uzbekistan di minit ke-21.
Dilshod Abdullaev menggandakan kelebihan buat Uzbekistan 3 minit sebelum rehat setelah tandukan pemain tinggi lampai itu terbias mengenai pertahanan Kemboja sebelum masuk ke gawang.
Uzbekistan terus mengganas dengan jaringan ketiga oleh Abdugafur Khaydarov ketika masa kecederaan untuk memastikan jaguh Asia Tengah itu selesa mendahului 3-0.
Separuh masa pertama tamat, Kemboja 0-3 Uzbekistan.
Sepuluh minit bersambung babak kedua, kapten Uzbekistan, Urinboev menambah derita Kemboja dengan gol ke-4 hasil percubaan kaki kiri yang menewaskan Ron Chongmieng.
Gawang Kemboja terus dibolosi buat kali kelima menerusi pemain gantian, Ibraimov yang tidak dikawal dan mudah melepaskan rembatan dari dalam kotak penalti pada minit ke-67.
Saidumarkhon yang dibawa masuk di separah masa kedua melengkapkan kemenangan besar buat Uzbekistan dengan jaringan keenam dan ketujuh beberapa minit sebelum aksi tamat.
Aksi di Stadium Universiti Fu Jen Katolik berakhir dengan keputusan 7-0 memihak Uzbekistan.
Perlawanan seterusnya bagi kumpulan B menyaksikan Nepal akan menjadi lawan Uzbekistan manakala Kemboja bakal berdepan ujian getir Bahrain pada Rabu hadapan.