Peminat bola sepak Liverpool dikejutkan dengan berita keluarga penyerang Colombia, Luis Diaz diculik hari ini.
Portal Semana melaporkan insiden ini berlaku di Barrancas, La Guajira, Colombia. Barrancas ialah tempat di mana Diaz membesar sebelum beraksi untuk kelab pertamanya, Atletico Junior.
Difahamkan ibu dan bapa bekas pemain Porto itu ditahan dan dipaksa keluar dari kenderaan mereka oleh kumpulan penculik sebelum dibawa ke tempat lain.
Kes ini menjadi keutamaan pihak polis di mana ia dikendalikan oleh GAULA (divisyen bertanggungjawab mengendalikan kes penculikan).
Malah, usaha mencari dan menyelamat turut dipantau sendiri oleh pengarah divisyen berkenaan, Kolonel Geovanni Cristancho.
Setakat artikel ini ditulis, pihak berkuasa Colombia berjaya menyelamatkan ibu Diaz. Sementara itu, usaha mencari dan menyelamatkan bapa pemain tersebut masih giat dijalankan.
Perkara ini disahkan oleh pengarah polis Colombia, William Salamanca. “Kita sudah berjaya menyelamatkan ibu (Diaz), dia dalam keadaan sihat, takut tetapi baik.
“Mereka melarikan bapanya dengan motosikal, membawanya keluar daripada van sebelum melarikannya dengan melalui laluan di situ,” katanya seperti dipetik wakil El Mundo Deportivo, Angelo Gomez.
Dengan situasi kurang menyenangkan ini, Diaz dijangka tidak diturunkan untuk aksi EPL menentang Nottingham Forest malam ini.