Berita buruk melanda kem pasukan kebangsaan Vietnam tatkala bakal menentang Harimau Malaya di Bukit Jalil.
Pasukan kendalian Kim Sang-sik bermula cemerlang pada aksi pembukaan Kumpulan F, Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos apabila menang dengan keputusan 5-0.
Malaysia juga dalam momentum cemerlang selepas membenam cabaran pasukan ke-175 dunia, Nepal dengan keputusan 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim.
Perkembangan terbaru dari kem Vietnam menyaksikan beberapa pemain dilanda kecederaan berat sekali gus menjejaskan perancangan Sang-sik berdepan Harimau Malaya di Bukit Jalil.
Berdasarkan laporan oleh VietnamNet, penjaga gol utama Vietnam iaitu Nguyen Dinh Trieu difahamkan terpaksa diketepikan akibat kecederaan otot betis.
Beliau sudah pun terlepas panggilan ke kem bulan Mac susulan mengalami kecederaan belakang sekali gus menyaksikan masa depannya menjadi tanda tanya.
Dua tonggak penting Vietnam, Nguyen Xuan Son dan juga pertahanan, Ho Tan Tai terpaksa diketepikan bagi tempoh 8 bulajn susulan kecederaan panjang sejak ASEAN Championship 2024.
Perancang tengah, Doan Ngoc Tan pula dikesan dalam keadaan bertongkat ketika aksi menentang Hanoi FC tempoh hari. Beliau mengalami patah tulang fibula dan bakal terlepas aksi menentang Harimau Malaya.
Aksi antara Malaysia dan Vietnam dijadualkan berlangsung pada 10 Jun jam 9 malam di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).