Skuad kebangsaan Kemboja telah diaibkan pasukan yang menghuni ranking ke-205 dunia, Sri Lanka dalam aksi playoff Kelayakan Piala Asia 2027 pada Selasa.
Kemboja yang dibimbing Felix Dalmas menurunkan barisan terkuat dalam menghadapi aksi kedua bagi kedua-dua pasukan selepas aksi pertama berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan.
Oliver Keelart mengejutkan tuan rumah dengan jaringan pertama Sri Lanka pada minit ke-37 hasil rembatan deras kaki kiri untuk meletakkan Sri Lanka memimpin separuh masa pertama dengan keputusan 1-0.
Bersambung babak kedua, Kemboja yang beraksi di hadapan ribuan penyokong sendiri menggandakan asakan bagi memburu jaringan penyamaan.
Hasilnya, Kemboja berjaya mendapatkan gol penyamaan hasil penyudah Nhean Sosidan pada minit ke-50 yang melepaskan rembatan lencong dari luar kotak penalti. Kedudukan terikat 1-1.
Tiada tambahan jaringan dapat dihasilkan untuk baki masa perlawanan sebenar dan perlawanan dilanjutkan ke tambahan masa.
Sos Suhana meletakkan Kemboja di hadapan buat pertama kali pada minit ke-98 selepas menyambar peluang terhidang di hadapan gol Sri Lanka.
Ketika kemenangan hampir menjadi milik Kemboja, Sri Lanka bangkit kembali menerusi jaringan penyamaan Claudio Kammerknecht pada minit ke-120 sekali gus mengubah kedudukan menjadi 2-2.
Perlawanan terpaksa diheret ke penentuan sepakan penalti bagi menentukan pemenang.
Sri Lanka lebih bernasib baik dan menjadi pemenang dalam perlawanan ini selepas menewaskan Kemboja dengan keputusan 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti.
Kekalahan ini menyaksikan Kemboja jadi menjadi satu-satunya pasukan dari Asia Tenggara yang gagal mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027.