Persekutuan Bola Sepak Kemboja (FFC) telah melancarkan siasatan rasmi berkenaan tuduhan yang menyelubungi penjaga gol mereka, Vireak Dara.
Ini selepas ramai penyokong The Koupreys mendakwa penjaga gol muda Svay Rieng itu menjual perlawanan. Ini disebabkan dua kesilapan besar yang dilakukannya dalam aksi menentang Singapura.
Ramai penyokong percaya jika tidak kerana dua kesilapan tersebut, Kemboja berpeluang meraih mata di Singapura pada 11 Disember lalu.
Aksi kedua Kumpulan A ASEAN Championship 2024 itu menyaksikan Faris Ramli mudah menjaringkan gol pada minit kesembilan selepas bola melepasi kaki Vireak.
Tujuh minit kemudian, hantaran bola penjaga gol berusia 21 tahun itu yang terlalu perlahan pantas dirampas Shawal Anuar. Ini memudahkan pemain sayap Lion City Sailors itu melepaskan rembatan ke penjuru atas gawang.
The Koupreys meraih gol saguhati menerusi Sieng Chanthea pada separuh masa kedua. Selepas tamat perlawanan, penyokong Kemboja mahu satu siasatan dibuat bagi memastikan tiada unsur pengaturan perlawanan.
Susulan itu, satu pertemuan diadakan membabitkan Presiden FFC, Jeneral Sao Sokha dengan barisan pemain dan staf kejurulatihan Kemboja pada 14 Disember lalu.
Sao memaklumkan situasi yang berlaku dalam aksi Singapura-Kemboja sebagai aneh. Beliau turut menyatakan FFC telah melancarkan siasatan dan bekerjasama dengan semua pihak berkaitan.
“Bagi semua pegawai dan pemain yang jujur dan tidak terlibat, tiada apa yang perlu dirisaukan tentang integriti mereka,” katanya seperti yang dilaporkan The Khmer Times.
Situasi ini juga mendorong jurulatih Kemboja, Koji Gyotoku memilih menurunkan Reth Ly Heng untuk aksi keempat Kumpulan A menentang Timor Leste pada 17 Disember lalu.
Perlawanan tersebut berkesudahan dengan kemenangan 2-1 buat The Koupreys di Phnom Penh.