Pasukan bola sepak Rangers meraih kemenangan besar 24-1 ke atas Westdyke dalam aksi pusingan ketiga Scottish Cup.
Pasukan bola sepak wanita Rangers yang dibimbing Jo Potter itu meraih dua gol awal menerusi Brogan Hay dan Camille Lafaix. Westdyke kemudiannya berjaya menembusi gawang kelab gergasi Scotland itu menerusi Bethany Cochrane.
Gol Westdyke membakar semangat Rangers untuk memburu gol tambahan. Lizzie Arnot dan Jane Ross menjadikan kedudukan 4-1 dalam tempoh 22 minit.
Pemain Westdyke, Lexi Milne menyumbat gol sendiri untuk menjadikan kedudukan 5-1. Dua gol Kirsty Howat, satu lagi gol Hay dan satu gol yang disumbang Chelsea Cornet memastikan Rangers mendahului 9-1 sehingga rehat.
Bersambung selepas rehat, Howat, Megan Bell dan Arnot terus melebarkan kelebihan Rangers. Ini disusuli oleh Charlie Devlin, Ross, Howat dan Mia McAulay yang menjadikan keputusan semasa 16-1.
Pemain gantian, Sarah Ewens kemudiannya masuk menggantikan Howat untuk penampilan pertamanya bersama Rangers. Ewens tidak membuang masa mencipta gol buat Ross sebelum disusuli gol seorang lagi pemain gantian, Eilidh Austin.
Ewens kemudiannya mencetak nama sebagai penjaring sebelum Ross dan McAulay masing-masing menyumbat gol untuk menjadikan kedudukan 20-1.
Ross menambah dua lagi gol dengan McAulay mencipta hatrik dan Ewens memastikan Rangers meraih kemenangan dominan 24-1.
Kemenangan ini dijangka memberi keyakinan kepada Rangers untuk mendepani aksi liga seterusnya dengan Motherwell pada 11 Disember ini.