Saingan Liga 1 Indonesia diteruskan dengan aksi Dewa United yang melayan kunjungan juara liga musim lalu, PSM Makassar. Perlawanan yang dilangsungkan di Stadium Indomilk itu berakhir dengan keputusan seri 1-1 dicatatkan kedua-dua pasukan.
Perlawanan dimulakan dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan demi mendapatkan gol awal perlawanan.
Dewa United akhirnya berjaya di hadapan seawal minit ke-9 perlawanan melalui percubaan menarik daripada pemain antarabangsa Lubnan, Majed Osman. Gol tersebut adalah hasil umpanan menarik dari Alex Martins.
Tersentak dengan gol itu, PSM lebih banyak menguasai bola untuk mendapatkan gol penyamaan.
Usaha mereka nyata berbaloi apabila pada minit ke-29, Victor Mansaray berjaya menjaringkan gol penyamaan selepas menyambar hantaran lintang Adilson Silva. Kedudukan terikat 1-1.
PSM Makassar hampir mengejutkan tuan rumah melalui rembatan deras Yakob Sayuri pada minit ke-35 namun penjaga gol Dewa United, Soony Stevens berjaya menepis.
Kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Dewa United menggandakan serangan mereka demi mencari gol kedua sekali gus mendahului perlawanan buat kali kedua.
Majed Osman berpeluang menjaringkan gol pada minit ke-57 melalui tandukan deras selepas menerima hantaran lintang dari sayap kiri. Namun percubaannya hanya menggegar tiang gol.
Biarpun kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, keputusan 1-1 itu kekal sehingga ke wisel penamat. Keputusan seri 1-1 ini menyaksikan Dewa United kekal di tangga ke-10 manakala PSM naik satu anak tangga iaitu kedudukan ke-12 liga.
Hasrat Junior Eldstal untuk beraksi dalam perlawanan ini juga tidak kesampaian apabila nama beliau hanya tersenarai di bangku simpanan dan tidak diturunkan sehingga wisel penamat ditiupkan.