Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio menjadikan kemenangan sebagai motivasi utama pasukan itu bergelar juara Unifi Piala Malaysia.
JDT muncul juara selepas mengatasi cabaran Sri Pahang FC 2-1 di peringkat akhir. Pada awalnya, Harimau Selatan ketinggalan menerusi gol T. Saravanan.
JDT kemudiannya bangkit menerusi penalti Bergson da Silva dan sepakan deras Arif Aiman Hanapi. Ini memastikan Harimau Selatan mempertahankan kejuaraan yang dimenangi sejak 2022.
Apabila ditanya tentang resepi pasukan itu, Bidoglio memaklumkan JDT hanya memberi fokus untuk mendapatkan kemenangan di pentas akhir.
Meskipun sedar potensi kejutan yang dibawa Sri Pahang, jurulatih Venezuela itu tidak menjadikan rekod lalu sebagai pengukur. Ini kerana pada akhirnya, barisan pemain JDT yang dipilih berjaya merealisasikan misi meraih trofi ke-30 di pentas final.
“Setiap aksi final, saya beritahu pemain-pemain, ‘Kita tidak analisis aksi final, kita perlu menangi aksi berkenaan.’ Jadi, saya tak analisis aksi final sekarang.
“Bila beraksi di final, kita kena menang dan pasukan bermain dengan penuh semangat, karakter dan kemahiran teknikal. Hari ini, JDT bergelar juara,” katanya dalam sidang media pasca-perlawanan.
Ini kali kedua Bidoglio bergelar juara Unifi Piala Malaysia selepas melakukannya pada edisi 2022. Ini juga kali kelima JDT bergelar juara dalam sejarah kejohanan itu.