Kemenangan Perak FC Dirompak?

Perak FC 13 Kemenangan Perak FC Dirompak?
Perak Football Club
Nabil Fahmi @nabilfamy
9:32am 08/07/2023

Hasrat Perak FC untuk mencatatkan kemenangan ketiga dalam saingan Liga Super musim ini hancur berkecai selepas pasukan pelawat, Kelantan United berjaya menyamakan kedudukan hasil sepakan penalti yang diambil Indra Putra Mahyuddin.

Disebalik gol sepakan penalti yang dijaringkan Indra Putra itu, para pemain Perak FC dilihat tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil yang telah menghadiahkan sepakan penalti kepada Kelantan United kerana pada pengamatan mereka kekasaran berlaku di luar kotak penalti.

Pada awalnya, pengadil perlawanan Jeevanathan M. Ponnamoorthy membuat keputusan untuk memberikan sepakan percuma selepas penyerang Kelantan United, Ismaheel Akinade dikasari Kim Youndo.

Walau bagaimanapun segalanya berubah apabila pengadil tersebut melakukan perbincangan dengan lebih mendalam bersama penjaga garisan dan kedua-duanya percaya kekasaran itu berlaku di dalam kotak penalti.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Ipoh semalam, Perak membuka jaringan melalui Sunday Afolabi yang menanduk masuk bola sepakan sudut kapten pasukan, Luciano Goaycochea seawal minit kesembilan.

Kelantan United melancarkan serangan bertali arus untuk mendapatkan gol penyamaan namun ketangkasan penjaga gol Perak, T. Shaheeswaran menjadi penghalang sehinggalah hadirnya jaringan penalti Indra Putra Mahyuddin pada minit ke-84 permainan.