Kemerosotan Romelu Lukaku Bimbangkan Chelsea
EPL
Dan Weir/PPAUK/REX/Shutterstock
Advertisements

Segar daripada kemenangan Piala Kelab Dunia FIFA, Chelsea berharap ia dapat menyemarakkan semangat pemain untuk terus memburu pendahulu liga, Manchester City. Tetapi pada Sabtu lepas, Blues terpaksa bergelut sebelum menewaskan Crystal Palace 1-0 di Selhurst Park. Salah seorang pemain yang bergelut dalam perlawanan itu ialah penyerang berbisa Romelu Lukaku.

Dalam tempoh 90 minit perlawanan pada Sabtu lepas, penyerang Belgium itu hanya menyentuh bola sebanyak tujuh kali sahaja – lebih sedikit berbanding penjaga gol Edouard Mendy. Malah, Lukaku langsung tidak membuat sebarang percubaan ke arah gol.

Tetapi ada sesuatu yang patut dirisaukan pengurus Thomas Tuchel, Sepanjang perlawanan, Lukaku tidak menunjukkan usaha bersungguh-sungguh untuk merebut bola dan mengganggu tempo pihak lawan. Dengan persembahan buruk sebegitu, ini bukan kualiti pemain yang didapatkan dengan yuran perpindahan £97.5 juta (RM556.8 juta) pada musim panas lepas.

Advertisements

Lukaku telah menjaringkan 10 gol dalam semua kejohanan musim ini – tidak mengecewakan tetapi dirasakan kurang berbaloi jika dibandingkan penyerang lain. Penyerang AS Roma, Tammy Abraham menjaringkan 12 gol dalam semua kejohanan musim lepas – lebih baik tetapi dipandang sepi oleh Tuchel.

Dengan Abraham mempamerkan prestasi memuaskan di Stadio Olimpico selepas berpindah ke Roma musim ini, penjualannya dilihat merugikan Chelsea. Sekurang-kurangnya, dia lebih baik daripada Lukaku dan Timo Werner – kedua-duanya tumpul walaupun banyak diberi peluang oleh Tuchel.

Ada mengatakan ia disumbang oleh kemarau gol yang dialaminya bermula Disember lepas. Tetapi itu dijawab Lukaku menerusi dua gol pada separuh akhir Piala Kelab Dunia FIFA. Gol bukan satu isu kepada penyerang Belgium itu. Tetapi puncanya berkemungkinan pelan taktikal Tuchel sendiri.

Advertisements

Tuchel sepatutnya sedar tentang hal ini beberapa bulan lalu. Menerusi temubual bersama Sky Italia, Lukaku mengkritik pengurus Jerman itu kerana tetap bertegas menggunakan sistem 3-4-3 – langsung tidak memanfaatkan kelebihan fizikal yang dimilikinya.

Selain Lukaku, ramai pemain kreatif Blues tidak berpuas hati dengan pendekatan keras Tuchel termasuk sentiasa menyalahkan mereka jika tidak menjaringkan gol. Dengan reaksi sebegitu rupa di bahagian teknikal, ia menyebabkan mereka tidak mempamerkan prestasi baik di hadapan gol. Ini termasuk mengabaikan naluri menjaringkan gol kerana perlu mengikut arahan pengurus mereka.

Hal ini turut disedari oleh tiga legenda penyerang England Gary Lineker, Ian Wright dan Alan Shearer. Dalam program terbitan BBC, Match of the Day, Shearer mengkritik Blues kerana gagal memanfaatkan kelebihan Lukaku sebagai penyerang termasuk menukar formasi yang lebih bersesuaian.

Advertisements

Bagi Lineker pula, kata-katanya jauh lebih keras. Bekas penyerang Tottenham Hotspur itu berkata, “Bila saya bermain, jika saya tidak mendapat hantaran bola, saya pasti akan merasa marah.” Sementara Ian Wright yang turut menjadi panel Match of the Day menggeleng kepala kerana pemain-pemain Chelsea gagal menyediakan hantaran bola mencukupi kepada penyerang-penyerang mereka.

Di sebalik semua ini, Blues masih berpeluang menambah koleksi trofi musim ini. Dengan Manchester City kecundang 3-2 di tangan Spurs di Stadium Etihad, peluang menggondol EPL masih terbuka. Tuchel juga berpeluang menambah koleksi Piala Carabao tetapi perlu mengatasi cabaran pesaing kejuaraan EPL, Liverpool.

Mereka juga masih bersaing di Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dan Piala FA. Dengan potensi empat piala ini, Lukaku masih berpeluang untuk bangkit daripada kemerosotan yang dialaminya. Tetapi persoalannya, apakah Tuchel bersedia mengubah pendekatannya?

Advertisements

Dengan meneliti rekod pengurusan Tuchel, bukan sedikit pemain yang pernah berselisih dengannya. Di Dortmund, Mats Hummels, Neven Subotic, Jakub Blaszczykowski dan Roman Weidenfeller pernah bertelagah dengan beliau. Dan antara punca pertelagahan mereka ialah memaksa penyerang muda bernama Emre Mor merangkak semasa latihan sebagai cara mendisiplinkannya.

Tuchel juga tidak teragak-agak bergaduh dengan pegawai-pegawai kelab sekiranya keputusan mereka ada kaitan dengan pasukan. Sven Mislintat yang bertanggungjawab mengenalpasti bakat baru untuk Dortmund pernah dikenakan larangan daripada mendekati pusat latihan Der BVB pada 2017. Dosa Mislintat? Bersetuju mendapatkan Oliver Torres tanpa mendapatkan persetujuan Tuchel.

Tuchel juga pernah bertelagah dengan CEO Dortmund, Hans-Joachim Watzke dan pengarah sukan Michael Zorc kerana banyak memihak kepada Mislintat. Di Paris Saint Germain, perkara sama berlaku antara beliau dengan pengarah sukan Leonardo berkenaan soal pembelian dan penjualan pemain.

Ada kalanya, beliau dapat mengawal ego pemain yang menjadi tonggak utama pasukan bimbingannya. Di Dortmund, Pierre-Emerick Aubameyang sentiasa disokong oleh Tuchel walaupun mempunyai kecenderungan untuk datang lewat. Ini membantu penyerang Gabon itu menjadi penyerang berbisa dalam Bundesliga sebelum menyertai Arsenal pada Januari 2018.

Di PSG, Neymar dan Kylian Mbappe juga tidak mempunyai isu dengan Tuchel. Walaupun Mbappe ada menyuarakan rasa tidak puas hati kerana dikeluarkan pada satu perlawanan, kedua-duanya mempunyai rasa hormat terhadap bos lama mereka itu.

Ini jelas menunjukkan Tuchel juga berpotensi sebagai ahli motivasi sehebat rakan senegara dan pengurus Liverpool, Jurgen Klopp. Tetapi selagi beliau masih berdegil dengan pendekatannya ketika ini, usah terkejut jodoh Tuchel dengan Blues tidak akan bertahan lama. Jika diberi pilihan antara Lukaku dengan pengurus Jerman itu, Blues lebih rela melepaskannya daripada Lukaku.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram