Dengan Kelantan FC berada dalam kelompok tercorot liga, pasukan memerlukan angin baru untuk kembali bangkit dalam pusingan kedua Liga Super. Justeru, tidak hairanlah ramai terkejut melihat seorang jurulatih asing bersama pemilik The Red Warriors (TRW), Norizam Tukiman atau Zamsaham semalam.
Dalam satu video yang dikongsikan di Facebook beliau, jurulatih tersebut iaitu Alfredo Vera dilihat bersama Zamsaham dengan beberapa staf pasukan.
“Ya, kita datang sini untuk bantu pasukan. Semoga kita dapat bawa Kelantan (FC) ke kedudukan berwibawa dan angkat pasukan jadi lebih bagus,” katanya bila ditanya Zamsaham tentang mesej kepada penyokong Kelantan FC.
Nama Vera bukan asing dalam kalangan peminat bola sepak Indonesia. Ini kerana jurulatih dari Argentina itu banyak melatih kelab-kelab di Indonesia seperti Persipura Jayapura, Bhayangkara dan Persebaya Surabaya.
Selain bergelar jurulatih, Vera juga pernah beraksi sebagai pemain import di negara itu dari 2005 hinggalah beliau bersara pada 2009.
Disebabkan tempohnya yang lama di Indonesia, Vera mampu berkomunikasi dengan baik dalam Bahasa Indonesia. Hal ini membantunya menyampaikan arahan taktikal yang lancar kepada para pemain dan mengenalpasti pemain-pemain muda berpotensi.
Beliau meraih dua kejuaraan semasa berada di Indonesia iaitu Indonesia Soccer Championship (ISC) A (2016) bersama Persipura Jayapura dan Liga 2 Indonesia (2017) bersama Persebaya Surabaya.
Bagaimanapun, kejuaraan ISC A tidak diiktiraf memandangkan ia dianjurkan semasa Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) digantung oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada ketika itu.
Kehadiran Vera dijangka mengundang persoalan tentang kedudukan jurulatih TRW ketika ini, Frank Bernhardt. Beliau sebelum ini dilantik sebagai jurulatih menggantikan jurulatih sebelumnya, Choi Moon-sik.
Sekiranya jurulatih Argentina itu bakal dilantik sebagai pengendali baru Kelantan FC, tidak mustahil Bernhardt akan kembali memangku jawatan sebagai pengarah teknikal pasukan.