Advertisements
Kenapa Ikhwan Yazek Padam Semua Gambar Terbaru di Instagramnya?
Liga Super
MakanBola
TRW Kelantan FC

Tindakan pemain sayap TRW Kelantan, Ikhwan Yazek memadam semua gambar terbaru di posting instagramnya menimbulkan persoalan dalam kalangan penyokong setia pasukan itu.

Tidak diketahui apa punca dia berbuat demikian, namun penyokong mula mengandaikan ia mungkin didorong rasa tidak puas hati terhadap layanan diterimanya sejak mengalami kecederaan lutut ketika perlawanan menentang KL City pada bulan lalu.

Ejen kepada bekas ketua jurulatih, Choi Moon Sik, iaitu Myeongho Jeong, sebelum ini mendedahkan Ikhwan tidak mendapat layanan yang sepatutnya daripada pihak pengurusan susulan kecederaan itu, sehingga terpaksa mengeluarkan duit sendiri untuk kos rawatan.

Malah menurutnya para pemain juga tidak dilindungi insurans, yang mana merupakan syarat wajib diletakkan ke atas pasukan yang beraksi di Liga Malaysia.

Menguatkan dakwaan tersebut apabila tiga bekas pemain yang pernah mengalami kecederaan iaitu Jack Hindle, Nixon Guylherme dan Zubir Azmi menyatakan mereka juga berdepan situasi sama.

TRW Kelantan bagaimanapun tampil menafikan tohmahan sedemikian yang sedang viral di media sosial, dan menjelaskan bahawa Ikhwan Yazek telah diberi perhatian yang wajar untuk membantu rawatan dan pemulihannya.

Kelab itu berpendapat ia tuduhan berniat jahat, dan mahu penyokong tahu perkara sebenar.

“Kami mengambil tahu perihal pemain yang cedera, Ikhwan Yazek dan Syed Sobri kami bayar kos rawatan mereka.

“Kami memandang serius dalam semua perkara melibatkan TRW Kelantan. Kami akan mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang cuba mencemar nama baik kelab,” menurut kenyataan kelab itu.

Ikhwan Yazek diusung keluar ketika menentang KL City pada 17 Mac lalu, dan beberapa hari kemudian TRW mengeluarkan kenyataan mengenai status kecederaannya bahawa dia mengalami kecederaan di bahagian meniscus yang mungkin menyaksikannya tersisih lama.

Malah, pemilik kelab Norizam Tukiman turut menunjukkan keprihatinan apabila menziarahi dan melihat sendiri keadaan pemain itu, justeru untuk mengatakan Kelantan mengabaikan kebajikan pemain itu pastinya satu tuduhan liar yang tidak berasas.