Kepakaran Subkhiddin Terus Ditagih Korea
MakanBola
Bernama TV

Persatuan Bolasepak Korea (KFA) terus menagih khidmat bekas pengadil bola sepak negara, Subkhiddin Mohd Salleh. Subkhiddin kini menyandang jawatan sebagai Ketua Tenaga Pengajar dan Penasihat Pembangunan Pengadil di Persatuan Bolasepak Korea sejak tahun 2021.

Dalam satu perkongsian bersama wartawan Bernama Nazrin Arif, Subkhiddin telah berkongsi beberapa pengalaman sepanjang beliau berkhidmat di Korea. Beliau yang mesra disapa Cikgu menjelaskan bahawa pelaburan yang tepat bakal meningkatkan mutu pengadilan sesebuah negara.

“Saya perlu berkongsi pengalaman, ketika saya ke Persatuan Bolasepak Korea (KFA), kami berbincang dan cuba membentuk kembali proses pengadilan yang berlaku di KFA, kita lihat banyak pelaburan yang dibuat, contohnya kursus.”

Mencecah usia 55 tahun, pengadil lagenda ini melihat bahawa praktikal dan latihan di padang amat penting untuk mengekalkan prestasi para pengadil.

“Kita tak buat kursus sekaligus yang mengumpulan 200 orang tapi kita buat yang terdiri dari kumpulan-kumpulan kecil, kumpulan elit, kumpulan pembantu pengadil dan sebagainya.”

“Pelaburan dari sudut mengadakan seminar ini tentunya kena keluarkan wang dan sebagainya. Pelaburan untuk meningkatkan mutu pengadilan ini bagaimana? Jadi ia bukan hanya di dalam kelas, tapi luar kelas, kita ke padang lakukan praktikal bersama dengan pemain.”

Bekas pengadil kejohanan Piala Dunia FIFA 2002 itu juga sempat berkongsi kerjasama yang dilakukan bersama FAM baru-baru ini. Jelas Subkhiddin, pengadil di Malaysia amat teruja dengan program-program yang dianjurkan.

“Jadi di minggu lepas, kita cuba praktikkan benda yang sama. Saya dapat lihat bagaimana pengadil yang mengikuti program seminggu yang lepas mereka sangat teruja. Mereka macam ya ini yang kami nak, ini yang kami perlukan. Bukan sahaja di dalam kelas, tapi kita bawa juga ke sesi praktikal kerana pengadil perlu latih tubi,” ujar Subkhiddin.