Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi menyifatkan kehadiran semula Tan Cheng Hoe bakal menambah kelebihan buat struktur baharu Harimau Malaya.
Nama bekas jurulatih Police Tero itu menjadi tumpuan peminat bola sepak negara apabila beliau dilaporkan sudah menyertai struktur baharu Harimau Malaya sebagai pengarah teknikal.
Perkara ini turut disahkan Yusoff apabila persoalan itu diajukan kepada beliau oleh wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
“Saya cuma boleh beri jawapan yang Tan Cheng Hoe memang sudah berada dalam pasukan kebangsaan ketika ini,” katanya.
“Tetapi untuk lebih butiran, anda boleh hubungi Setiausaha Agung FAM (Datuk Noor Azman Rahman).”
Meskipun tidak menyatakan peranan apa yang bakal digalas Cheng Hoe, Yusoff melihat kehadiran beliau mampu memberi nilai tambah kepada skuad kebangsaan.
“Secara peribadi, saya anggap akan ada kesan baik yang berlaku. Pertama, Tan Cheng Hoe kita memang tahu beliau merupakan jurulatih skuad kebangsaan sebelum ini,” ujarnya.
“Kita ada struktur kejurulatihan baru yang kita bentuk dari luar. Mungkin kombinasi ini akan membantu dan memberi maklumat-maklumat diperlukan pasukan kejurulatihan baru untuk memperbaiki supaya pasukan ini dapat bergerak pantas.
“Sebab kita dalam keadaan sekarang perlu buat keputusan cepat. Masa tak bersama kita terutama dengan (pusingan kelayakan) Piala Asia yang kita hadapi ini.”
Selain Police Tero dan Harimau Malaya, beliau juga pernah melatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Selangor FC.