Kontrak pengendali berprofil tinggi, Bojan Hodak bersama KL City akan berakhir pada hujung bulan depan.
Pengendali dari Croatia itu mengakui sehingga kini belum menerima tawaran kontrak baru, dan dia sendiri memberi bayangan masa depannya bersama skuad warga kota berkemungkinan akan dipengaruhi oleh keputusan Pilihanraya Umum (PRU) pada bulan depan.
Berdasarkan pencapaian KL City sepanjang dua tahun di bawah bimbingannya, penyokong pastinya bersetuju Bojan Hodak selayaknya diberikan kontrak baru.
Dia bukan sahaja membawa kelab itu menamatkan saingan di kelompok enam teratas Liga Super selama dua musim berturut-turut, tetapi memacu kelab itu menoktahkan penantian 32 tahun untuk menjulang Piala Malaysia dengan menewaskan JDT pada tahun lalu.
Musim ini pula, Bojan Hodak membimbing kelab itu melakar sejarah hebat menjuarai Piala AFC antara zon seterusnya mara ke pentas final Piala AFC, sebelum tunduk di tangan Al-Seeb.
Buat masa ini, Bojan Hodak tidak mahu pening kepala memikirkan tentang masa depannya tatkala fokusnya terarah kepada membawa KL City mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia.
“Masa depan saya perlu ditanya kepada pengurusan atau mungkin bergantung pada pilihanraya umum nanti. Fokus utama saya sekarang adalah untuk memastikan pemain bersedia untuk harungi perlawanan bertemu PDRM (pusingan kedua Piala Malaysia).
“Ini kerana saya mahu pemain mendapatkan semula aura serta magis yang sudah hilang ketika ini,” kata Bojan Hodak yang menyaksikan pasukannya tewas dalam tiga perlawanan terakhir termasuk final Piala AFC.
Berdasarkan kekuatan dan reputasi, KL City dijangka tidak bermasalah mengatasi PDRM, dan sekiranya berjaya meneruskan kemaraan mereka dijangka berdepan pemenang di antara Sri Pahang dan Terengganu FC.