Pemain skuad bawah 19 tahun Malaysia, Danish Hakimi membuatkan ramai sebak selepas beliau meraikan jaringan menentang Brunei dalam aksi sulung saingan Kumpulan C Piala AFF Bawah 19 Tahun di Indonesia.
Dalam aksi tersebut, Danish Hakimi meledak pada minit ke-25 perlawanan yang mana ianya merupakan jaringan keempat buat skuad kendalian Juan Torres Garrido itu. Malaysia mengakhiri perlawanan dengan kemenangan besar 11-0 menewaskan Brunei.
Ketika meraikan jaringan, Danish telah menunjukkan jari telunjuk ke langit dan memaparkan tulisan ‘IBU’ di pergelangan tangan kiri beliau.
Selepas diselidik dengan lebih dalam, Danish sebenarnya telah kehilangan ibunya, empat tahun lalu dan keraian gol Danish itu membuatkan ramai warganet sebak.
“Mesti ibu tersenyum bangga tengok adik kan,” coret pemilik akaun Tiktok, Izmi Afif.
Video memaparkan foto Danish yang tular di Tiktok itu telah disukai oleh lebih 43 ribu pengguna Tiktok dan telah dimainkan sebanyak lebih 328 ribu kali hingga ke saat ini.
Ini bukanlah kali pertama Danish melakukan keraian seperti itu. Beliau juga telah beberapa kali dikesan memakai lilitan yang bertulis ‘IBU’ di pergelangan tangannya ketika mewakili pasukan muda Johor Darul Ta’zim (JDT).