Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar bin Ibrahim dalam satu kenyataan menyatakan bahawa ada cubaan daripada beberapa pihak yang merancang untuk mengambil alih tanah Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Kerajaan persekutuan bagaimanapun menidakkan hasrat tersebut dengan menolak dan membatalkan permohonan yang telah dibuat.
Anwar berkata sedemikian pada Majlis Pecah Tanah Residensi Wilayah dan Residensi Prihatin Madani di Kuala Lumpur, hari ini.
Perdana Menteri Malaysia dalam pada itu juga menegaskan bahawa stadium itu akan terus kekal dan memastikan tidak akan ada cubaan ambil alih tanah tersebut.
“Ada pihak yang rancang untuk ambil tanah Stadium KLFA. Tapi kerajaan tolak dan batalkan. Maka ia akan kekal,” ujar Anwar Ibrahim.
Stadium Cheras yang kini menjadi rumah kepada kelab bola sepak KL City dijamin akan terus kekal dan boleh terus dimanfaatkan warga Kuala Lumpur.
Pasukan KL City bakal berdepan Penang untuk kempen Piala Malaysia 2023 pada esok, 8.15 malam di Stadium Cheras, Kuala Lumpur.